Tulips Dialysis Centre, Seksyen 6 Kota Damansara

Thanks for viewing, if any question and inquiry, please do not hesitated to call us at 0361423301 or email at mizanaimi@tulipsdc.com or walk-in to our center. Our office are open from 8.30am until 5.30pm from Monday to Friday and from 9.00am to 1.00pm on Saturday. For temporary, Treatment hour are from 7.00am to 2.00pm from Monday to Friday and will be update the change in the future.

Sunday, February 7, 2010

Diabetis dan Buah Pinggang

oleh Dato' Dr Zaki Morad bin Mohd Zaher

Darah anda dibersihkan oleh buah pinggang anda. Bahan-bahan sisa buangan dan cecair akan ditapis keluar, membentuk urin, yang akan disalur keluar melalui pundi kencing. Sekiranya buah pinggang anda rosak, fungsi penting ini tidak dapat dilakukan dan ianya akan mengakibatkan anda menjadi lesu atau kadang-kala membawa maut.


Apabila anda mula mendapat diabetes, buah pinggang anda mungkin akan membesar dan mula mengeluarkan bahan-bahan sisa buangan dengan cepatnya dari badan. Ini berlaku kerana terdapat banyak glukosa yang memasuki buah pinggang dan menyebabkan banyaknya air dikeluarkan dan seterusnya mengakibatkan tekanan di dalam buah pinggang anda meningkat.

Ini boleh menyebabkan membran dan struktur buah pinggang menjadi tebal dan selepas satu jangka masa, buah pinggang anda akan tidak boleh menapis darah sebanyak seperti dahulu. Apabila buah pinggang anda mula kehilangan keupayaan untuk menapis, cecair dan bahan sisa buangan akan mula berkumpul dalam darah dan meningkat ke tahap yang membahayakan.

Masalah Tidak Disedari

Ramai di antara mereka yang mempunyai penyakit buah pinggang tidak sedar bahawa mereka mempunyai masalah sehingga fungsi buah pinggang mereka menurun kepada kurang 25% daripada kapasiti normal. Pada tahap akhir penyakit, fungsi buah pinggang adalah kurang daripada 10% daripada kapasiti normal. Pada ketika itu, buah pinggang anda tidak lagi boleh mengekalkan hayat dan anda terpaksa menjalani rawatan dialisis ataupun pemindahan buah pinggang untuk terus hidup.

Secara amnya, lebih kurang 30-40% pesakit diabetes yang mempunyai penyakit buah pinggang disebabkan diabetes (nefropati diabetes) akhirnya akan mengalami kegagalan buah pinggang. Kebiasaannya ia mengambil masa selama 10 hingga 20 tahun dari masa penyakit diabetes bermula.

Tetapi, jangkamasa untuk buah pinggang anda gagal dari berfungsi boleh dikatakan akan menjadi singkat jika anda terlambat membuat pengesahan bahawa anda ada menghidapi penyakit diabetes. Oleh itu, adalah penting untuk anda melakukan pemeriksaan secara kerap untuk mengesan penyakit diabetes seawal yang boleh dan ambil langkah-langkah pencegahan yang sebaik-baiknya.

Dialisis Buah Pinggang

Diabetes mellitus, terutama jika disertakan dengan tekanan darah tinggi dan juga menghisap rokok, adalah sebab utama berlakunya penyakit buah pinggang (nefropati diabetes) di kebanyakan negara. Di Malaysia sebanyak 51% kes-kes baru yang diterima untuk dialisis pada tahun 2004 adalah di kalangan pesakit diabetes.

Dialisis adalah satu rawatan perubatan untuk mengeluarkan bahan sisa buangan badan secara terus dari darah bagi mereka yang mengalamai kegagalan fungsi buah pinggang. Dialisis akan akan hanya dapat menggantikan sebahagian daripada fungsi buah pinggang yang tidak lagi berfungsi. Terdapat 2 jenis dialisis iaitu hemodialisis dan dialisis peritoneal.

Hemodialisis adalah sejenis dialisis yang menggunakan satu mesin buah pinggang tiruan (mesin dialisis) untuk membuangkan cecair dan bahan sisa buangan dari aliran darah.

Dialisis peritoneal pula berasaskan satu tiub yang dimasukkan ke dalam rongga badan yang juga terletaknya perut, hati dan usus-usus, yang dipanggil kaviti peritoneal. Cecair dalam kuantiti yang banyak akan dialirkan ke dalam kaviti ini dan ia akan mengeluarkan sisa buangan melalui cecair yang mengalir balik ke luar daripada kaviti. Dialisis peritoneal selalunya di lakukan di rumah pada setiap hari.

Oleh kerana rawatan dialisis diperlukan secara kerap, maka ia biasanya akan menjadi beban kewangan kepada kebanyakan mereka yang memerlukannya. Kos untuk setiap sesi hemodialisis di klinik atau hospital swasta adalah dalam lingkungan RM100 ke RM300. Oleh kerana pesakit diabetes mungkin memerlukan 3 sesi seminggu, maka ia boleh menyebabkan anda berbelanja sehingga RM600 seminggu!

Anda sememangnya tidak patut menanggung beban yang seberat ini. Walaupun anda mempunyai diabetes, anda boleh mengelak atau melewatkan berlakunya kegagalan buah pinggang dengan berusaha untuk menjaga diri anda dan penyakit diabetes anda dengan baik.

Penjagaan Diabetes Yang Baik

Anda boleh mengelakkan penyakit buah pinggang yang disebabkan diabetes dengan :

* Mengawal tahap glukosa darah

Anda harus pastikan sebaik mungkin tahap glukosa darah anda berada di tahap yang disyorkan iaitu antara 3.8 hingga 6.1 mmol/L semasa berpuasa dan tidak lebih dari 7.8 mmol/L selepas makan. Banyak kajian telah menunjukkan bahawa kawalan glukosa darah yang baik dapat menurunkan risiko untuk mendapat penyakit buah pinggang disebabkan diabetes ataupun sekurang-kurangnya mengelakkannya daripada menjadi lebih teruk.

Oleh itu, adalah amat baik jika anda mula berusaha untuk memakan secara sederhana dan teratur, mengawal pengambilan karbohidrat, melakukan aktiviti fizikal dengan kerap dan mengurangkan berat badan yang berlebihan. Penjagan diabetes yang baik juga termasuklah mengambil ubat-ubatan mengikut peraturan (sekiranya dipreskripsi oleh doktor), memantau tahap glukosa darah setiap hari di rumah dan kerap berjumpa dengan doktor anda.

* Mengawal tekanan darah anda

Adalah disarankan bahawa pesakit-pesakit diabetes mestilah sentiasa mengekal tekanan darah mereka di bawah tahap 130 mmHg sistolik (bahagian atas) dan rendah daripada 80 mmHg diastolik (bahagian bawah). Ini mungkin agak sukar untuk dicapai dan anda mungkin memerlukan lebih daripada satu ubat tekanan darah.

Adalah penting untuk tekanan darah anda dikawal secara ketatnya. Tekanan darah pada paras yang tinggi boleh mempercepatkan terjadinya penyakit buah pinggang diabetes anda dan (jika ianya telah wujud) akan mengakibatkannya menjadi lebih teruk.

* Pengesanan awal untuk penyakit buah pinggang disebabkan diabetes

Sekiranya anda sudah mempunyai penyakit buah pinggang, protein darah mungkin akan tertumpah ke dalam urin. Kehadiran protein dalam kuantiti yang banyak dalam urin (satu petanda lewat nefropati diabetes) boleh dikesan dengan satu ujian ringkas dengan mencelup stik pengesan ke dalam urin.

Tetapi pengesanan untuk protein yang sedikit di dalam urin (mikroalbumin) - satu petanda awal kerosakan buah pinggang disebabkan diabetes - memerlukan ujian yang khas. Kehadiran mikroalbumin atau protein dalam urin menunjukkan buah pinggang anda telah rosak. Ini akan memberi amaran kepada doktor anda untuk mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengelakkan penyakit buah pinggang anda daripada menjadi lebih teruk.

* Mengambil ubat-ubatan anda mengikut peraturan

Tambahan kepada pengambilan ubat untuk mengawal diabetes (dan mungkin juga untuk tahap lipid anda), anda juga perlu mengambil ubat anti-hipertensi untuk mengekalkan tekanan darah anda di bawah tahap 130/80 mmHg.

Ubat-ubat daripada kumpulan Perencat Enzim Penukar Angiotensin (ACEI) ataupun Penghalang Reseptor Angiotensin (ARB) bukan sahaja dapat merendahkan tekanan darah anda, tetapi juga dapat melindungi buah pinggang anda dengan merendahkan tekanan dalam glomeruli. Oleh demikian, ia akan membantu mengurangkan risiko kematian disebabkan nefropati diabetes dan juga dapat mengurangkan keperluan untuk dialisis ataupun pemindahan buah pinggang.

* Berhenti merokok

Merokok adalah membahayakan untuk apa jua keadaan sekalipun. Merokok akan mempercepatkan proses pembentukan penyakit buah pinggang dan oleh sebab itu adalah lebih baik jika anda tidak merokok.

Mencegah Lebih Baik Daripada Merawat

Kehidupan boleh menjadi sukar apabila buah pinggang anda telah rosak. Diabetes bukan sahaja mengancam buah pinggang anda, tetapi juga organ-organ lain seperti jantung dan mata anda.

Berita baiknya ialah, anda boleh mengelakkannya atau melewatkan komplikasi-komplikasi diabetes ini daripada berlaku. Maka, ambillah langkah pertama hari ini jua untuk melindungi buah pinggang anda dengan mengamalkan pengurusan diabetes yang baik. Anda berkuasa untuk mengelakkan penyakit buah pinggang yang disebabkan diabetes anda dan sebaliknya dapat menikmati kehidupan dengan sepenuhnya, walaupun anda menghidapi diabetes.

No comments:

Post a Comment